Guru yang mengajar sifat sabar

Hari ini aku terbaca coretan rakanku. Bait awal tulisannya telah mengetuk-ngetuk pintu jiwaku. Katanya,

Pernahkah kita berfikir jika seseorang datang membuat kita kecewa,maka fikirlah secara positif bahawa dia adalah ‘guru’ yang hendak kita belajar erti sabar. setuju? Semua kejadian berlaku dengan keizinan Tuhan, maka terimalah didikan itu dengan baik.

Walaupun rasanya pahit seperti hempedu, tetapi coretan ini membawa kebenaran yang nyata. Mudah bagi manusia untuk menanamkan rasa benci, tetapi cukup sukar untuk melihat hikmah di sebalik segalanya.

Seperti mana Rasulullah yang telah menandatangani perjanjian Hudaibiyyah dengan kaum Musyrikin Mekah, pada awalnya para sahabat tidak bersetuju kerana perjanjian itu begitu berat sebelah dan menguntungkan kaum Musyrikin semata-mata, namun Rasulullah melihatnya dengan mata hikmah dan tetap meneruskan perjanjian itu. Ternyata perjanjian itu telah menguntungkan kaum Muslimin untuk jangka masa yang panjang!

Mungkin hari ini kita rugi, tetapi manakan tahu esok lusa kita akan untung. Pendek kata BERSABARLAH. Dan seperti yang kita ketahui, Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang bersabar.

Meminjam sekali lagi kata hikmah dari rakanku,

“we cannot direct the wind but we can adjust our sail”

Perkara yang telah berlaku, telahpun berlaku. Ianya tidak mampu diubah kembali. Barang mustahil juga untuk mengubah putaran waktu. Benar!

Tetapi bagaimana kita mahu menyesuaikan diri dengan takdir yang ditimpakan ke atas kita itu adalah kunci yang paling utama.

Contohnya jika kita ditakdirkan terlibat dalam kemalangan dan hilang kedua belah kaki, apakah yang patut kita lakukan? Kita tidak dapat mengubah hakikat bahawa kita telah kehilangan dua belah kaki kita. Menangis air mata darah sekalipun kaki itu tidak akan datang semula kepada kita. Apa yang penting adalah bagaimana kita dapat menguruskan kehidupan kita dengan lebih baik walaupun tanpa kedua belah kaki itu.

Apabila kita tidak dapat menerima hakikat ketentuan ini dan terlalu asyik menyalahkan orang lain bahkan mungkin menyalahkan Tuhan, maka kehidupan kita akan menjadi gelap dan tidak bermaya. Sebaliknya jika kita redha dan berusaha sedaya mungkin, mendongakkan kepala dan terus bergerak ke hadapan, maka kita telah berjaya mengawal sauh kehidupan ini.

Pesan buat diriku, Hiduplah dengan lebih bermakna dan jangan ditangisi perkara yang tiada. Lihatlah sekeliling kita. Betapa banyak nikmat yang telah Tuhan berikan kepada kita, namun sangatlah sedikit manusia yang tahu bersyukur!


Leave a comment