Sokongan terhadap Prof Dr Abdul Aziz Bari

8 11 2009

Prof Dr. Abdul Aziz Bari

Selalunya aku akan bersikap kritikal terhadap kerajaan. Tetapi di dalam coretan ini, aku terpanggil untuk mengkritik berkenaan beberapa isu di dalam Parti Islam Semalaysia (PAS) yang sedang heboh diperkatakan mutakhir ini.

Pertama sekali berkenaan dengan kritikan Prof Dr. Abdul Aziz Bari terhadap PAS. Aku agak terganggu dengan hujah balas yang dilontarkan oleh Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan bagi menjawab kritikan Dr. Abdul Aziz. Katanya;

Saya kini tidak lagi melihat kritikan beliau (Dr Abdul Aziz) terhadap pimpinan PAS sebagai datang dari seorang tokoh akademik yang ikhlas dan tulus , tetapi ia adalah kritikan yang datang dari seorang agen musuh untuk menggulingkan Presiden PAS dan mahu melihat PAS terus bergolak . Beliau sangat seronok melihat PAS berkrisis hasil kritikan dan tohmahan yang dilontarkan.

Bagi aku, lontaran Nasrudin ini tidak menggambarkan imej seorang tokoh muda yang berfikiran kritis, tetapi memperlihatkan kedangkalan pemikiran dan kecetekan budi pekerti. Sayang sekali kerana dia adalah ketua pemuda PAS. Cara dia menganalisis isu ternyata lemah dan tidak bersesuaian dengan posisinya. Alangkah baiknya jika dia digantikan dengan pemuda intelektual yang bijak berpolitik. Gaya lagat Nasrudin ini hanya sesuai untuk menjadi pengikut dan bukannya pemimpin. Dia tidak mempunyai sosok politik universal dan selalu berpandangan ekstrem.

Seharusnya, selaku ketua pemuda PAS, Nasrudin perlu membuat ‘homework’ sebelum mengatakan sesuatu. Prof Dr. Abdul Aziz Bari bukanlah figura asing di dalam dunia politik tanahair. Beliau adalah ahli akademik yang sering kritikal terhadap kerajaan terutamanya membabitkan isu perlembagaan. Malah karyanya berkaitan Perlembagaan Malaysia menjadi teks wajib bagi setiap Mahasiswa Perundangan.

Begitu banyak artikel dan pandangan Dr Aziz yang menyebelahi Pakatan Rakyat sebelum ini. Contohnya di dalam isu Perak. Dr Abdul Aziz secara jelas menyatakan dengan konsisten bahawa tindakan Barisan Nasional mengambil alih kepimpinan Perak adalah bercanggah dengan Perlembagaan Negeri dan Undang-undang Negara.

Malah, lidah rasmi PAS, Harakah, sering mengeluarkan pandangan Prof Dr. Abd Aziz apabila pandangan beliau menyebelahi mereka. Tetapi, apabila Prof Dr. Abdul Aziz mula mengkritik kepimpinan PAS, ada di kalangan tokoh-tokoh PAS yang pendek akal terus menerus menerjah Dr Abd Aziz bagaikan helang menyambar ular. Mereka ini tidak tahu diuntung. Malah mungkin sudah hilang akal kerana itu sanggup bersinggul-singgulan dengan UMNO!

Apakah cara ini sesuai dengan akhlak pejuang islam di dalam parti yang berasaskan agama? Bila tak setuju, terus dicop agen UMNO. Bila tak setuju, terus dicop sebagai pengkhianat dan pelbagai kata nista lagi. Kaedah pemikiran kuno PAS ini haruslah dihumban ke dalam Muzium kerana ianya akan membantutkan usaha Pakatan Rakyat menerajui Kerajaan Pusat suatu hari nanti.

Mungkin saja PAS sudah terlupa dengan Surah Al-Asr. Ingin aku ingatkan firman Allah Azzawajalla.

Demi Masa! Sesungguhnya Manusia sentiasa di dalam kerugian. Kecuali bagi mereka yang beramal soleh. Dan mereka yang berpesan dengan kebenaran. Dan mereka yang berpesan dengan kesabaran.

Sesungguhnya Prof. Dr Abdul Aziz Bari telah berpesan dengan kebenaran dengan menyantuni sabda baginda, “berkatalah benar walaupun pahit.”





Siapa dalang di sebalik dalang?

2 11 2009

Ustaz Asri bersama dengan Ustaz Abdul Rasyid (ustazku di sekolah dulu)

Lewat malam semalam aku menerima kiriman mesej mengatakan Dr Asri Zainul Abidin (Mantan Mufti Negeri Perlis) telah ditahan oleh pihak JAIS dengan bantuan pihak polis.

Maka hari ini terpampanglah di dada akhbar-akhbar utama menceritakan perihal tangkapan semalam. Tidak kurang komen-komen di blog sama ada di pihak UMNO mahupun PAS terutamanya yang mengecam tindakan JAIS terbabit.

Pelik bin Ajaib. Aku begitu hairan. Kali ini baik di pihak Kerajaan Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat mengecam tindakan menangkap Dr Asri. Justeru siapakah yang menjadi “tangan-tangan ghaib” di sebalik drama tidak bersiri ini?

Aku tidak mahu cerita panjang berkenaan hal ini kerana nantinya sudah tentu akan ada blog-blog politik yang menceritakan darihal konspirasi ini. Tetapi sudah tentunya Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor akan tercalar di sebalik semua cerita ini. Juga nanti kita dengarkan apa komen Exco Agama Negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Ali yang tidak pernah putus dengan kontroversi. Apakah tangkapan ini juga mendapat “restu” dari beliau? Tuhan lebih mengetahui.

Tentang Dr Asri ini ingin aku katakan, semenjak dari dahulu, bermula pada tahun-tahun awalku di sekolah menengah, aku sudah didedahkan dengan aliran pemikiran yang dibawa olehnya. Buktinya orang yang berada di sebelah Ustaz Asri semalam ketika di dalam sidang media, adalah ustazku di sekolah menengah dahulu iaitu Ustaz Abdul Rasyid bin Idris.

Dalam menjalani frasa kehidupanku di universiti, aku diketemukan dengan pelbagai aliran. Aku bermula dengan aliran “keras” seperti yang dibawa oleh Dr Asri, kemudian berubah kepada berhaluan kiri politik, seterusnya bertukar mendukung aliran tradisionalis sunni, dan kini aku lebih suka digelar sebagai seorang humanis yang berhaluan pertengahan (wasata) kerna bagiku, itulah yang dituntut dalam agama seperti mana Firman-Nya yang Maha Agung:

“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), ummat pertengahan (adil dan pilihan) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan)mu” (Al-Baqarah 143)

Dr Asri bukanlah Rasul, jauh sekali bersifat ma’sum. Sungguh demikian, Allah telah merezkikannya dengan sedikit pengetahuan agama supaya boleh dikongsikan dengan sekalian ummat di rantau ini.

Hatta walaupun demikian, aku telah berbeda pandangan dengannya dalam banyak perkara. Tetapi aku juga tidak menafikan bahawa aku telah mendapat manfaat sebahagian dari ilmu yang disampaikannya.

Secara peribadi, aku merasakan perbedaan pandangan di antara Dr Asri dan ilmuan Islam selainnya masih di dalam kerangka Syariah. Aku tidak pernah melihat ianya tersasar keluar daripada landasan syara’.

Hujah harus dipatahkan dengan hujah. Begitulah yang seharusnya.

Seharusnya di bawah Pakatan Rakyat, ruang menyampaikan ilmu mesti disemarakkan lagi kerana dahulu PAS khususnya pernah merasai pahit maung bagaimana ustaz-ustaz dari PAS disekat dan diharamkan untuk berceramah sehinggakan Allahyarham Ustaz Ishak Baharom (Mantan Mufti Selangor) sendiri diharamkan berceramah di Selangor menggunakan alasan yang sama (berceramah tanpa tauliah). Sewajarnya Pakatan Rakyat insaf betapa zalimnya perbuatan tersebut di zaman Mahathir Mohamad. Jangan nanti dikata orang ‘paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’.

Apa pun kesungguhan pemuda PAS yang ingin berdialog dengan JAIS adalah suatu yang terpuji. Cumanya aku melihat kalau dahulu dikala PAS tidak mempunyai kuasa di Selangor, mungkin dialog adalah medium yang terbaik. Tetapi kini, PAS adalah merupakan rakan kongsi utama Pakatan Rakyat di Selangor, justeru dialog sahaja tidak berguna. Keikhlasan harus ditunjukkan lebih dari itu termasuk dengan menggunakan kuasa yang telah diberikan kepada Exco Agamanya untuk membetulkan apa yang dilakukan oleh JAIS. Melainkan Hasan Ali merestuinya.. Siapakah dalang di sebalik dalang?





Jalan manakah yang harus ku pilih?

29 10 2009

Semester Kedua telah pun bermula.

Sama ada sedar ataupun tidak, hanya tinggal 8 bulan lagi sebelum aku meninggalkan universiti ini. Mahu tidak mahu, aku perlu merancang dari sekarang akan kehidupanku untuk masa mendatang.

Fikiranku berkeceramuk dan kusut apabila memikirkan perkara ini. Alangkah mudahnya menjadi pelajar, hanya perlu hadir ke kelas dan menyiapkan tugasan yang diberikan. Dugaan terhebat pun apabila tibanya Peperiksaan Akhir (Final Exam).

Tetapi kehidupan selepas menjadi pelajar sudah tentunya akan mengundang seribu satu cabaran yang semestinya lebih merunsingkan. Walaupun aku gembira kerana pengajianku hampir tamat, tetapi aku juga agak “gementar” apabila memikirkan haluan hidupkan selepas ini. Jalan manakah yang harus ku pilih?

Aku mengambil masa yang lama utk memikirkan perkara ini. Aku tidak mahu tersalah rancang. Aku tidak percaya kepada “nasib”. Segala yang berlaku di dalam dunia ini ada sebab dan musababnya.

Undang-undang Alam, jika usaha akan berjaya, jika malas akan gagal, jika berlari akan penat, begitulah aturannya. Sama juga kiasannya jika tidak merancang tentunya akan terpinga-pinga di kemudian hari.

Laluan kerjaya yang mungkin akan ku pilih selepas tamat pengajian adalah seperti berikut:

1) Peguam

2) Pendakwa Raya

3) Magistret

4) Pensyarah

5) Eksekutif Telekom Malaysia

6) Pegawai MMU

Sudah tentu sebagai Pelajar Undang-undang, kerjaya peguam itulah yang didambakan. Tetapi atas faktor-faktor tertentu, kerjaya peguam ini harus ku lupakan buat sementara waktu. Memandangkan aku mempunyai kontrak dan terikat dengan Telekom, pilihan 1,2, dan 3 bukan menjadi keutamaan diriku.

Tetapi aku tetap akan memohon penangguhan dari Telekom barang sementara waktu (9 bulan) kerana aku tetap mahu melakukan Latihan dalam Kamar (Chambering) untuk melayakkan aku menjadi Peguam seperti mana yang termaktub di dalam Legal Profession Act as a “Qualified Person”.

Selepas cukup syarat iddah 9 bulan itu, barulah aku akan pulang ke pangkuan Telekom dan berkhidmat seperti yang telah dimenterai di dalam kontrak.

Kemungkinan besar aku akan memohon untuk menjadi Pensyarah atau pun menjadi Eksekutif di TM. Perjalananku tidak selesai di situ sahaja.

Aku juga punya cita-cita untuk melanjutkan pelajaran. Dah macam-macam website Universiti aku lawati. Cita-citaku tidak lah sebesar mana. Cukuplah membuat ijazah sarjana (Master) di dalam Negara.

Maka sudah tentulah Universiti Awam menjadi tumpuan.

Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi tumpuan. Universiti Teknologi Mara dan Universiti Sains Islam Malaysia juga tidak dilupakan. Ianya bergantung kepada situasi dan keadaan.

Kiranya diizinkan Tuhan, aku juga mahu meneruskan pengajianku sehinggalah ke tahap PhD. Semoga Allah merezkikan aku dengan kelapangan dan kemudahan.

Ala kulli hal, kesimpulannya, percaturan ini hanyalah perancangan diriku semata. Barangkali ianya akan berubah. Kita manusia hanya mampu merancang. Kadang-kadang apa yang kita nak tak semuanya kita akan dapat. Kadang-kadang benda yang kita sayang tu terpaksa kita lepaskan juga. Inilah adat alam ataupun dalam bahasa syariatnya disebut sebagai Sunnatullah.

Sampai di sini, moga kita ketemu lagi.

Mohammad Khairol Khalid Al-Keriani





Koleksiku yang terbaru

25 10 2009

Demi mengisi masa terluang 2 minggu lalu, 5 buah buku telah ku hadamkan di kampung halaman. Kepuasan duduk berjam-jam di dalam gedung ilmu membuahkan hasil di bawah. Alhamdulillah Syukur aku dapat menghayati sebahagian besar isi kandungan buku-buku yang telah ku borong. Kali ini seperti biasa aku memilih pelbagai genre di dalam pembacaanku. Karya menyentuh isu politik, kesusasteraan, perundangan, falsafah, dan kemanusiaan menjadi pilihanku saban waktu. Bagiku, keluasan ilmu dan lapangan perbedaan pandangan haruslah terus disuburkan. Kita tidak perlu bersetuju dengan segala apa yang ditulis kerana sabit manusia itu memang senantiasa berkhilaf.  Hujah ilmu harus dibalas dengan ilmu. Bukannya disekat dan dinafikan hak penerbitannya. Semoga negara ini akan terus disuburkan dengan lautan ilmu sehingga ke akhirnya.

Bacalah dengan Nama Tuhan-Mu yang menciptakan!





Cuti Raya

10 10 2009

Malam ini, tepat pukul 9 aku akan bertolak pulang ke Kampung Halaman. Bezanya kali ini destinasi yang dituju bukanlah Kulim, tetapi Sungai Siput Perak. Inilah pertama kali aku menjejakkan kakiku ke sana.

Berapa besarlah agaknya jalan-jalan di Sungai Siput tue yer? Al-Maklumlah bekas kawasan jajahan Samy Vellu Hehe.

Jadi dengan ini, diumumkan blog ini akan bercuti selama 2 minggu setelah berpenat-lelah menempuh peperiksaan dan akan kembali semula dengan nafas baru yang lebih bertenaga :p

Jumpa lagi kawan-kawan.

Yang benar,

Mohammad Khairol Khalid Al-Keriani





Armageddon

3 10 2009

Dilaporkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Demi Dia yang mengutuskan daku dengan kebenaran, bumi ini tidak akan hancur sehingga penghuninya ditimpa tanah runtuh, ditimpa hujan batu dan berubah menjadi binatang.” Orang bertanya, “Bilakah terjadi demikian wahai Rasulullah?” Sabda Baginda, “Apabila kamu melihat wanita menunggang di atas pelana, penyanyi berleluasa, saksi-saksi memberi keterangan palsu menjadi kebiasaan dan lelaki meniduri lelaki dan wanita meniduri wanita.” – [al-Haithami, Kitab al-Fitan].

Komen

Semua tanda-tanda dah berlaku… Haihh.. cuma belum tengok manusia berubah jadi binatang jer lagi. Rasanya dah tak lama dah. Yang terbaru hujan ais batu dekat Pahang. Siap tajuk berita Hujan air batu sebesar cawan bukan fenomena biasa. Nampaknya dah macam tak lama… Dalam masa tiga hari sudah 389 kali Padang digoncang bumi… Kalaulah KL kena goncang macam tue.. KLCC tue memang jadi sejarah la.

Kalau tengok kat gambarajah atas tue pon kawasan letusan gempa tue dah tak jauh dengan Malaysia.. Dekat sangat… Tak mustahil Malaysia akan jadi “destinasi” gempa bumi yang seterusnya. Kalau kerajaan kita masih tak sedar-sedar dan terus-terusan melanggar hukum dan tamak haloba… kita semua akan jadi sasaran berikutnya!

Janji Nabi Muhammad dah hampir tiba… Selamatkanlah kami Ya Allah.





Menjelang Peperiksaan

24 09 2009

Seperti biasa, hatta seberapa banyak kali pun telah dilalui, seringkali, apabila ia hampir menjelang tiba.. keringat membasahi dahi.. Itulah namanya peperiksaan..

Kali ini, untuk kali keduanya telah ku korbankan Hari Rayaku…Huhu.

Kepada sahabat perjuangan, selamat berjaya ku ucapkan.

Doakan kejayaanku untuk tahun-tahun terakhir ini. Ameen!

Berikut adalah lampiran jadual peperiksaan.

Multimedia University EXAM SLIP
Student ID : 1061100002 Name : MOHAMMAD KHAIROL BIN KHALID Trimester : 1 Session : 2009/2010
Degree : Bachelor of Law (Honours) Faculty : FBL Branch : MMU – MELAKA
Subject ID Subject Description Exam Hours Status Date Venue Seat No Time
BCP4614 CRIMINAL PROCEDURE I 3 29/09/2009 MAIN HALL 282 2.30 PM
BPP4614 PROFESSIONAL PRACTICE I 3 30/09/2009 EXT. EXAM HALL 90 2.30 PM
BCV4614 CIVIL PROCEDURE I 3 02/10/2009 FBL DESIGN STUDIO A 84 3.00 PM
BJP4614 JURISPRUDENCE I 3 07/10/2009 FOSEE ACR1001 94 9.00 AM
BLV4614 LAW OF EVIDENCE I 3 09/10/2009 BLOCK B 2016 7 9.00 AM

Ref ID : 0000AL010611220909





Apabila Prof Teo bersuara..

6 09 2009

Hari ini, ayah kepada rakanku Teo Ju Li menjadi heading utama portal bebas Malaysiakini yang di ambil daripada Utusan Malaysia. Boleh lihat di sini dan di sini

Untuk pengetahuan, Prof Dr. Teo Kok Seong adalah Felo Penyelidikan Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA).

Aku kira apa yang diutarakan oleh Prof Dr. Teo Kok Seong ada benarnya. Apabila ditanya tentang apakah pandangan beliau berkenaan hubungan antara kaum di Malaysia, maka ini jawabnya.

Secara ikhlas saya katakan hubungan antara kaum di negara ini hanya retorik. Di luar hanya nampak baik tetapi di dalam tidak baik. Perlu ada interaksi yang kerap dan tulen sifatnya supaya ada semangat kenal-mengenali. Di negara ini, sifat curiga mencurigai antara kaum yang menjadi masalahnya. Saya juga melihat keadaan ini berlaku kerana parti yang berasaskan kaum yang jelas memperjuangkan kaum mereka sahaja dan ini akan mengheret soal lain seperti bahasa dan sebagainya.

Sepatutnya hanya ada satu bahasa pengantar sahaja. Bahasa lain boleh dipelajari tidak ada masalah namun kepentingan sistem satu bahasa adalah penting untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum.

Maka politik yang bersifat perkauman ini sangat bahaya dalam usaha kita memupuk perpaduan. Sekarang ini kita hanya melihat perpaduan di peringkat luaran dan tidak ada interaksi yang sebenar antara semua kaum. Komunikasi antara kaum ini ada yang hanya bercakap bahasa pasar sahaja malah ada yang tidak langsung boleh berbahasa Melayu. Maka kita perlu berusaha untuk memupuk satu interaksi tulen antara kaum ini supaya perpaduan yang selama ini kita perjuangkan akan berjaya.

Komen

Aku sangat bersetuju dengan Prof Teo. Yakini bahawa Bahasalah yang menyatukan kita semua. Bahasa Jiwa adalah penyatu Bangsa. Bahasa Jiwa ditakrif sebagai bahasa yang paling dekat dengan hati nurani seorang. Harapannya apabila bersatunya bahasa, maka jurang bangsa itu akan menjadi semakin mampir. Kita bersatu di dalam perkara yang disepakati, dan kita saling bertoleransi terhadap perkara-perkara yang kita perselisihkan.

Pada zaman edan ini, usahkan bangsa lain, bangsa Melayu sendiri pun ramai yang enggan berbahasa Melayu. Sampai ada yang pernah berkata, I look stupid when I speak in Malay!

Formula yang dicadangkan oleh Prof Teo bukanlah sesuatu yang baru. Ianya sudah teruji dan terbukti keberkesanannya. Kesatuan melalui bahasa bukanlah retorik, tetapi adalah realiti. Politik perkauman yang di asaskan oleh UMNO, MCA dan MIC haruslah dihapuskan dan ditalkinkan kerana parti inilah yang menghalang kepada Kesatuan dalam erti kata yang sebenar.

Perpaduan 1 Malaysia yang dilaungkan Najib hanyalah bersifat kosmetik. Masakan tidak! Lihatlah bagaimana perlakuan penduduk S.23 Shah Alam. Memalukan! Tambahan lagi Hishamuddin secara terbuka memberi sokongan kepada Demonstan pemijak kepala lembu ini! Usah Najib mengabui mata rakyat. Selagi mana wujudnya proksi UMNO. MCA dan MIC, 1 Malaysia tidak akan tercapai. Bak kata pepatah, “Jauh panggang dari api”

Jika Hindraf yang berarak dengan hanya membawa bunga mawar pon ditangkap dan diperlakukan dengan ganas, mengapa tidak Penganjur Perarakan Kepala Lembu yang melampau itu? Adakah undang-undang mempunyai mata dan pandai memilih bulu?

Wawasan Dato’ Onn yang menggagaskan Parti Negara yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India haruslah disegarkan kembali. Sesungguhnya Dato’ Onn adalah benar apabila beliau meninggalkan UMNO. Sayangnya apabila cucunya sendiri Hishamuddin buta untuk melihat pandangan jauh Dato’ Onn ini.





52 Tahun Merdeka. Apa pencapaian kita?

30 08 2009

Malam ini tanggal 31 Ogos, Negara kita bakal merayakan ulangtahun kemerdekaannya yang ke 52. Aku kira semuanya sudah sedia maklum perbedaan negara kita yang ada pada hari ini dengan keadaannya 52 tahun yang sudah.

Ada orang yang bertanya, Apa pencapaian kita? Apakah kita sudah benar-benar merdeka dalam erti kata yang sebenar? Ataupun ianya hanyalah retorika kosong beralaskan laungan kosmetik baru 1 Malaysia?

Dalam perjalanan merintis 52 tahun kemerdekaan ini, masih ada di kalangan kita yang merasakan bahawa mereka itu Rakyat Kelas Kedua (Second Class Citizen).

Masih ada juga yang memandang rendah bahasa ibunda sekonyong-konyong dikatakan tidak layak digelar sebagai bahasa ilmu. Apakah mereka tidak menyedari sejak kecil mereka didodoikan oleh ibu-ibu mereka dengan lagu-lagu berserikan bahasa ibunda. Harus mereka diingatkan, bahasa ibunda adalah ruh peradaban bukan ancaman misi kemajuan.

Ada juga yang sanggup mengusung kepala lembu berarak sebagai simbol membantah pembinaan kuil di kawasan mereka. Walau apa pun alasannya, apakah ini perlakuan bangsa yang merdeka? Apakah ini yang di ajar oleh Allah dan Rasul Nya.

Demi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, sesungguhnya perbuatan itu adalah menyeleweng daripada ajaran agama yang suci. Islam mengajar umatnya menjadi “ummatan wasatan” yang membawa erti umat pertengahan. Islam tidak pernah mengajar umatnya menjadi sosok yang ekstrem kerana Islam adalah agama yang moderat.

Islam tidak sesekali mengajar penganutnya menzalimi binatang inikan pula menghina agama orang lain. Memijak kepala lembu dan mengapi-apikan bahang perkauman di bulan Ramadhan bukanlah dari ajaran agama! Besarlah kemurkaan Allah kepada mereka yang melakukan perbuatan terkutuk ini dengan berlabelkan nama Tuhan yang Maha Agung!

Tahun-tahun terakhir meniti ilmu perundangan ini membuatkan aku berfikir panjang. Apakah warna negara yang perlu kita corakkan untuk kehidupan anak-anak kita pada masa hadapan. Aku tidak mahu meninggalkan legasi hipokrasi dan assobiyah.

Merdeka tidak diukur dengan tembakan mercun dan bunga api di sebalik bangunan pencakar langit. Tetapi merdeka harus diukur dengan semangat yang luhur, setiakawan, bertolak-ansur, bersatu-padu dan saling lengkap melengkapi.

Salam Kemerdekaan Yang ke-52

Tulus dan ikhlas

Khairol Khalid Al-Keriani





Celoteh Malam

23 08 2009

Sedar tak sedar, dah 2 hari aku berpuasa. Masa pantas berlalu.

Memang tak terasa. Kalau difikir-fikirkan semula, memang begitulah dunia ini..

Rasanya macam baru jer start belajar Law, tiba-tiba dah Final Year.. Hmm..

Tanpa kusedari, dahulunya aku seorang bayi kecil yang comel, kini dah jadi dewasa. Kemudian nanti berkahwin pula memimpin keluarga. Daripada dipimpin, bertukar kepada pemimpin…

Kebelakangan ni juga rasanya ramai orang yang dah meninggalkan kita. Yang paling terasa apabila pemergian Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim (Rabbani).. Aku memang sungguh2 minat dia. Dalam dunia nasyid, hanya dia dan Abang Nazri Raihan yang aku betul-betul hormat.

Tingkah laku mereka persis sama dengan lirik-lirik nasyid yang diperdengarkan.. Sekarang ni ramai penyanyi nasyid yang mengajak kepada ma’aruf, tetapi mereka sendiri adalah pelaku mungkar. Masya Allah!

Kepada pendakwah, ustaz, guru, kaunselor, pensyarah, politikus, mufti, tok guru, perdana menteri, sultan.. dari sebesar-besar pemimpin sehinggalah sekecil-kecil pemimpin, dengarkan hadith Rasulullah ini.. Inilah pesanan yang benar bagi mereka yang mahu menerima peringatan!

Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa ia pernah mendengar Nabi SAW bersabda: “Pada hari kiamat kelak seseorang itu akan dicampakkan ke dalam neraka, maka keluarlah ususnya dan dia berputar-putar seperti seekor keldai mengelilingi batu kisaran. Para penghuni neraka lainnya pun menghampirinya dan bertanya:”Wahai saudara, mengapa ini semua terjadi? Bukankah saudara adalah orang yang pernah menyuruh kepada-perkara makruf (kebaikan) dan mencegah perkara-perkara yang mungkar (kejahatan)?”Maka ia menjawab:”Benar, akulah yang pernah menyuruh kamu berbuat makruf dan melarang kamu berbuat kemungkaran, tetapi aku sendiri yang melanggarnya.” (Bukhari & Muslim)

Jadi beringat-ingatlah yer… Hidup di dunia ni tak lama. Tup2 buatnya keluar rumah japgi aku naik moto tetiba jatuh longkang… terus mati… wallahua’lam.. Mati itu adalah rahsia Tuhan.. Tidak dipercepatkan atau diperlambatkan walaupun sesaat.

Aku tak pandai nak bernasyid macam Arwah Ustaz Asri Rabbani.. Cuma boleh menulis..Jadi mungkinlah sedikit cebisan peringatan ini dapat aku jadikan bekal kat akhirat esok.

Raya tahun ni pon mungkin aku tak dapat balik.. Hmm.. tahun lepas pon tak balik… (speechless)

Any way, bagi yang muslim, selamat berpuasa untuk esok (hari ke 3)

Barangsiapa yang satu kelas dengan aku, jumpa di kelas Criminal Procedure I pukul 8 pagi nanti.

Adios~~